Sabtu, 18 April 2020

Cerpen Komedi Seram: Ada Hantu?

  Kerana anda sudah jemu dihidangkan dengan lambakan novel bergenrekan  cinta cintan cintu Cerpen Komedi Seram: Ada Hantu?


Membelek susunan novel di kedai-kedai buku membuatkan anda sesak nafas. Mengapa? Kerana anda sudah jemu dihidangkan dengan lambakan novel bergenrekan cinta cintan cintun. 
 Membaca novel A, kisahnya mengenai kahwin paksa. Cuba meneliti sinopsis novel B, plotnya berkisarkan cinta dua darjat. Beralih ke novel C, tidak habis-habis dengan hero dan heroin bergaduh yang akhirnya bercinta.
Anda hampir keluar daripada kedai buku, tetapi pandangan tertacap pada sebuah novel dengan kulit kaver pocong sedang berselfie. Ya, mungkin itu novel yang anda perlukan. Berbeza! 
 Ada Hantu? adalah novel keluaran Gedebook yang akan membawa anda untuk menyelami kisah seram. Bukan kisah seram biasa, tetapi kisah seram yang akan membuat anda meremang bulu roma sambil ketawa.
Enam orang penulis berentap idea menghasilkan satu cubaan dalam dunia penulisan untuk menghasilkan konsep cerita yang lain daripada lain.
Akhirnya, lapan buah cerita berjaya dimuatkan ke dalam satu novel dengan tema komedi seram. 
Membaca Ada Hantu? seolah-olah anda sedang menaiki permainan roller coaster. Apabila di jalan mendatar, anda lega. Apabila ia menaiki puncak, anda berdebar. Apabila ia turun menjunam, anda mula mengilai. Penulis-penulis ini bijak bermain dengan ayat dan mempunyai idea penceritaan yang sangat menarik. Unsur suspens yang diterapkan hampir kesemuanya menjadi. Tidak lupa juga elemen komedi yang diserapkan dalam hampir semua cerita. Hampir semua watak utama dalam setiap kisah membawa perwatakan seorang yang penakut. Pantang diusik, pasti akan ketar lutut.
Walaupun begitu, pembaca akan seolah-olah dapat menjiwai setiap watak dan seperti terasa berada dalam kisah tersebut. Siapa sangka wujudnya hantu gincu merah, hantu engsot, zombi putih dalam masyarakat kita? Hanya di dalam novel keluaran syarikat Gedebook ini sahaja! 
Pembaca juga mungkin akan tertarik dan dapat menyaksikan betapa susahnya mereka yang terpaksa bekerja sebagai pembawa van jenazah dan mereka yang menguruskan rumah mayat. Betapa besarnya pengorbanan mereka dalam menjalankan fardu kifayah.
Mempunyai pekerjaan sedemikian memerlukan kekuatan mental yang kuat agar tidak mudah goyah iman. Namun dalam novel ini, semuanya diceritakan dalam kisah yang seram dan kelakar, tetapi berilmu. 
Jika anda mencari kelainan atau gemar dengan genre komedi seram tetapi malas hendak ke panggung untuk menyaksikan lambakan cerita bergenrekan yang sama, mungkin anda boleh mula mencari novel ini. Pastikan anda tidak membaca seorang diri.
Jangan salahkan penulis-penulis ini jika anda berasa seram sejuk. Tepuk dada, tanya iman. Enjoy!

Credit:Sumber