Jumat, 17 April 2020

Air Mineral

Kejadian ini berlaku 6 tahun yang lalu. Saya baru sahaja memutuskan hubungan dengan seseorang akan kehendak saya sendiri setelah mendapat tahu si dia masih berhubungan dengan bekas kekasihnya.

Pada pertemuan terakhir, saya ada minum air mineral yang dibelinya. Beberapa hari kemudian, saya dapati saya mula mendapat ulser mulut. Saya banyak minum air, gunakan ubat "Bonjela", tapi ia semakin merebak. Saya yang pada mulanya 'gembira' saya tidak lagi bersama dia, mula duduk termenung dan menangis tanpa henti. Ulser pula merebak ke seluruh mulut menyebabkan saya tidak boleh makan dan minum.

Saya ke hospital dan dimasukkan ke wad pesakit jiwa selama 12 hari. Selepas saya dibenarkan pulang, keadaan saya menjadi lebih teruk. Saya langsung tidak ingin keluar dari rumah. Malah, saya akan tutup langsir dengan rapat, dan tidak ada nafsu langsung untuk melihat keluar tingkap. Keadaan ini menyebabkan saya berhenti kerja.

Pada suatu malam, sedang saya tidur seorang diri di bilik, tiba2 saya dikejutkan dan saya melihat seorang paderi berjalan ke arah saya sambil membawa lilin dan mengasah alat besi seperti pisau kecil atau garfu. Lalu dia mengikis gigi depan saya. Setelah itu, saya tertidur kembali sebelum dimerengkan ke kiri. Saya melihat seorang wanita berbaju putih berambut panjang kelihatan sangat gembira sekali dan dia seakan2 masuk ke dalam badan saya. Saya kembali tidur. Kemudian, tiba2 tengkuk saya dihentak dengan kuat. Bermula dari malam itu, saya tidak tidur di bilik saya sendiri. Saya ditemankan anggota keluarga tidur di ruang tamu untuk beberapa bulan.

Akhirnya, saya mengalah dan mengikut pendapat orang untuk berubat. Apabila saya melihat mata tukang ubat itu saya berasa takut. Setelah dia membuat apa yang perlu, saya pulang. Di dalam kereta, saya tidak dapat duduk dengan betul. Saya baring. Saya tidak dapat berjalan dan terpaksa dipapah. Saya begitu lemah dan hilang rasa pancaindera. Menurut pakar perubatan, saya harus menukar nama saya, dan sekumpulan orang akan membaca surah Yassin untuk saya. Saya harus menyediakan hati ayam. Menurut tukang ubat, orang itu telah mengambil semangat saya.

Banyak kejadian aneh berlaku setelah itu. Pada satu malam, saya mendengar di ruang tamu bergema dengan orang membaca yassin. Pada satu malam yang lain, si dia datang melutut di sebelah saya meminta izin untuk pergi. Dia membawa bagasinya. Apabila saya terbangun, ayah saya juga berkata yang dia bermimpi benda yang sama. Saya mengambil masa yang lama, untuk berdikari seperti orang normal. Kalau dulu saya rajin memasak, hanya beberapa bulan baru saya dapat melangkah masuk ke dapur. Saya disuap makan, makan, mandi oleh ibu saya.
Enam6 tahun berlalu, malangnya saya tidak dapat kembali menjadi diri saya yang dulu iaitu positif, aktif dan ceria. Disebabkan masalah 'mental' saya ini, saya tidak kekal dengan sesuatu pekerjaan. Saya berasa cukup sensitif dengan 'kehadiran' yang tidak inginkan kehadiran saya. Saya dapat merasakan jika sesuatu tempat atau orang itu tidak inginkan kehadiran 'saya' dan dengan mudah saya akan 'dibuang' dengan alasan yang tidak masuk akal. Ini menyukarkan saya kerana saya berasa tidak tenteram dekat dengan orang2 yang jahat di tempat kerja, menyebabkan saya banyak berdiam diri dan mengalah dengan orang2 sedemikian walaupun saya tidak bersalah. Orang2 sedemikian tahu akan 'kelemahan' saya.

Dulu saya tidak mempercayai gangguan sebegini. Doktor hanya mengatakan masa akan mengubat segala luka. Ya, saya sudah pun cuba melupakannya. Tetapi apalah nasib saya. Gangguan datang dan pergi. Saya pernah menjadi 'mangsa' suami orang yang beria2 ingin mengambil saya sebagai isteri kedua. Alhamdulillah berkat usaha saya sendiri yang tidak putus2 sembahyang pada waktu malam, akhirnya hati saya tertutup langsung untuk melayannya. Saya seakan mempercayainya dan menurut segala kehendaknya. Apabila saya benar2 sedar, saya dimaki hamun olehnya dan isterinya yang mentertawakan saya. Begitu kejam dan hina saya dilakukan oleh mereka, tapi saya tetap akur dengan kehendak si suami. Astaghfirullah!


Mungkin ada orang yang tahu akan keadaan saya dan mengambil kesempatan. Saya yakin suatu hari nanti saya akan kembali normal. Mendapat pekerjaan tetap, berfungsi seperti biasa. Pada mereka di luar sana, janganlah mentertawakan dan mengambil mudah perkara sebegini. Yakinlah ia terjadi. Kini, saya perlu berterusan memohon perlindungan-Nya dan kembalikan nafsu sebagai insan biasa. Bukan kehendak saya menjadi begini. Bukan mudah menerima hakikat saya 'dipermainkan', difitnah, ditertawakan banyak kali. Tapi yakin, Allah SWT menguji saya. Saya berharap satu hari nanti saya dapat berumahtangga dan menimang anak saya sendiri. Insya-Allah!

Vee


Sumber